"Dah tu yang dalam facebook tu apa cite plak?"


Seorang pemuda yang baru keluar penjara setelah 10 tahun dipenjara sejak dari umurnya 18 tahun, singgah di sebuah kedai menjual kopiah berhampiran penjaranya.


Pemuda: "Abg, berapa harga satu kopiah ni?"


Bro: "RM30."


Pemuda: "Tak boleh kurang sikit?"


Bro: "Orang macam kau ni tak payahlah pakai kopiah." *tetibe*
Pemuda mendiamkan diri. Meletakkan kembali kopiah putih tersebut.
Bro: "Orang kalau dah tak baik, pakai kopiah macam mana pun tak akan dapat tudung kejahatan dia buat. Jangan rosakkan imej orang lain yang berkopiah pula. Tak payah pakailah, senang. Kalau pakai, tapi perangai macam syaitan bukan ke hipokrit, munafik namanya? Berpura-pura baik dengan imej berkopiah di hadapan orang. Yang di facebook pula sibuk letak imej berkopiah untuk melariskan diri sendiri dengan imej yang baik. Hak tuih!"

Pemuda: "Tak mengapalah macam tu bang. Jangan risau, saya tak beli kopiah ni. Saya pun tak mampu beli kopiah harga ni."

Bro: "Ha bagus. Dah, aku nak meniaga. Ko pergi mengemis tempat lain boleh? Aku dah kenal ramai la yang keluar penjara macam kau ni. Suka dapatkan simpati."

Pemuda menundukkan kepala, cuba berlalu dari situ. Tapi ditahan oleh seorang pakcik.
Pakcik: "Nanti, biar pakcik belikan."
Pakcik segera menghulurkan note RM30 kepada penjual kopiah.

Pakcik: "Biarlah dia nak pakai kopiah. Kopiah tu kan dari pakaian orang Islam juga. Kemas sikit, tak adalah nampak serabai sangat rambutnya."

Bro:"Pakcik tak payahlah kesian sangat dekat budak ni."

Pakcik: "Samada dia hipokrit atau tidak, baik atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Tugas kita adalah menegur dia jika dia salah, tunjuk dan bimbing dia jika dia hilang arah. Biarlah dia pakai kopiah, sekurang-kurangnya bila dia nak buat maksiat, dia ingat kopiah di kepalanya. Mula-mula rasa malu pada kopiah. Dari malu kepada kopiah, timbul malu kepada Tuhan. Dengan memakai kopiah, mungkin dia akan malu memandang aurat gadis-gadis di sekelilingnya lalu menundukkan pandangan."

Bro: "Dah tu, yang dalam facebook tu apa cite plak?"

Pakcik: "Terpulang pada niat masing-masing;

1. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka dapatlah pahala.

2. Jika niatnya nak memancing wanita, maka mungkin dapatlah apa yang dihajati tapi tidak mungkin dapat Allah kerana tidak ikhlas.

3. Jika niatnya supaya orang lebih tertarik kepada Islam dengan imej sopan yang ditunjukkan, alhamdulillah..bagus.

4. Kadang-kadang orang lebih mudah berikan kepercayaan pada yang berimej baik dan sopan dari yang berimej sebaliknya. Lebih dipercayai berbanding mereka yang membawa imej misalnya terlampau rock, yang akhirnya menyebabkan mereka kurang diberikan kepercayaan.

5. Orang yang berpura-pura dengan berimej Islamik dan bertopengkan agama di facebook, ilmu bermanfaat yang disebarkan dapatlah pahala untuk part tu. Tapi dari segi keikhlasan, dia ada masalah dengan Allah. Dia kena muhasabah balik, betulkan niat. Tak guna disukai orang, tapi dibenci oleh Allah."

Bro mengangguk-angguk malas seraya beralih ke customer yang lain. Malas nak layan celoteh pakcik.


Tiba-tiba pemuda tersebut memeluk pakcik tersebut dengan deraian air mata.

Pemuda: "Selama 10 tahun saya berada di penjara, 5 tahun saya enggan solat. Namun apabila pertama kali saya cuba solat di dalam penjara dengan memakai kopiah penjara, saya rasa tenang sangat-sangat. Saya akhirnya bersolat. Bila melihat wajah saya dalam cermin dengan berkopiah, rasa macam tak percaya. Nampak tenang dan tak serabut seperti selalu. Sejak dari hari tu, saya berazam hari pertama saya keluar penjara saya nak beli kopiah saya sendiri..saya nak berhijrah.."

Pakcik: "Alhamdulillah..namun ingatlah, penghijrahan bukan sahaja bermula dengan imej Islamik, tetapi lebih penting lagi di sini." (sambil menunjuk ke arah dada pemuda tersebut)

Usai bersalaman, pakcik meminta diri dari pemuda tersebut dan berlalu pergi. Sekilas, pemuda teringat dia belum lagi mengucapkan terima kasih. Ditolehnya ke belakang, namun pakcik tersebut dah tiada. Hilang sekelip mata.

Pemuda tercari-cari, berlari-lari ke segenap arah. Namun tidak dijumpai kelibat pakcik. Hampa. Mengeluh seketika.

Namun dalam hatinya kini ada dua penghargaan;

"Terima kasih, pakcik."
"Terima kasih Tuhan."